DUNIA ILUSI DAN DUNIA MUNGKIN DALAM CERPEN-CERPEN AZMAH NORDIN
DALAM analisis cerpen-cerpen Azmah Nordin yang banyak memperlihatkan citra wanita yang khas dan unik, sejajar dengan lingkungan latar budaya sosialnya, pembaca nescaya akan dapat melihat kekuatan pengarang ini menyampaikan mesej, di samping kritikan halus seninya, dengan memanfaatkan teknik pertentangan binari (binary opposition). Cerpen-cerpen Azmah Nordin yang dikaji adalah: ‘Singkowoton’; ‘Diagnosis’; ‘Bercak’, dan ‘Kuntum Perdamaian’. Dalam teks cerpen-cerpen tersebut pembaca dihadapkan dengan tanda-tanda budaya yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, khasnya di Sabah. Ia telah dipermanfaatkan dengan saksama oleh pengarang ini.
Menurut Umberto Eco, manusia terus menerus berada dalam interaksi dengan lingkungannya. Interaksi itu berupa usaha untuk terus menangkap dan menyimpan informasi yang diberikan oleh lingkungan itu. Kadang-kadang kita dapati informasi itu begitu banyak dan kompleks sehingga tidak setiap alat pun yang dapat merakamnya. Sementara tanda-tanda yang diberikan oleh lingkungan tersebut pula tidak seluruhnya dapat ditangkap dan difahami. Dalam hal ini, bahasa (sebagai sebahagian sistem tanda) adalah suatu alat yang berfungsi untuk merakam dan menterjemah arus informasi persekitaran tersebut.
Apabila dikaitkan dengan kepentingan seni yang menurut Jurij Lotman dapat diibaratkan sebagai bahasa; karya sastera dapat diibaratkan sebagai mesej ataupun teks dan makna, sementara bahasa itu sendiri dapat didefinisikan sebagai suatu sistem yang tujuannya untuk membangun komunikasi antara pengirim dan penerima melalui penggunaan tanda-tanda sebagai perantara (Jurij Lotman, 1977: 7-8), maka secara tidak langsung bahasa dan mesej tambahan itu kita perolehi. Sementara Charles Sanders Peirce, yang terkenal dengan konsep ikon, indeks dan simbol pula menanggapi semiotik dari aspek hubungannya dengan konvensi. Ini kerana tanda-tanda itu selalu berubah mengikut konteks dan sering pula mempertentangkan maknanya. Sebagai sebuah karya fiksi atau cereka, khalayak pembaca selalu bertolak pada pengetahuannya tentang kenyataan bahawa setiap teks itu dipercayai mempunyai indikasi atau penunjuk yang tidak fiksional (Aart van Zoest, 1990: 32). Oleh kerana itu, kita selalu menyebut hal-hal yang kita ketahui dari kenyataan faktual – atau daripada dunia kita sahaja. Kita tidak pernah berfikir bahawa impian, ilusi dengan kenyataan-kenyataan yang tidak faktual itu dapat membantu kita untuk tidak terpaku dalam fikiran yang salah, bahawa dunia kita ini satu-satunya dunia mungkin. Dalam lain perkataan, kita mengimpikan dunia yang lebih baik, dengan kehidupan yang aman, penuh kasih sayang, tanpa penipuan rasuah dan kejahatan, tanpa perang dan sebagainya. Maka inilah bentuk dunia atau dunia mungkin yang dikemukakan van Zoest (1990: 34) ; Verkuyul (1978: 113), dan Paul Ricoeur (1984) itu, bahawa ada dunia lain di mana fakta-fakta lain terjadi, yang mempunyai aturan atau hukum-hukum lain yang berbeza dengan yang berlaku di dunia kita ini. Kerana dunia kita ini adalah salah satu dari dunia-dunia mungkin ataupun sebuah dunia pilihan. Konsep dunia mungkin (possible world) ini dikenali juga dengan istilah proposed world, yakni dunia yang disarankan (Kleden, 2004: 158).
Cerpen ‘Singkowoton’ (tersiar pertama kali dalam majalah Dewan Sastera, Februari 1989) memperlihatkan penentangan terhadap konvensi. Menerusi watak Solisir (gadis kaum Murut Tegol/Sumambu) yang intelek dan menjadi Yang Berhormat, cuba melawan konvensi sosialnya, tradisi dan hukum alamnya. Ini terjadi kerana pengalaman masa lalunya yang penuh derita. Solisir bertekad untuk mengubah corak hidup keluarganya dan masyarakatnya yang tidak maju, dan masih mengamalkan kepercayaan karut (mitos) seperti animisme dan pembaziran untuk upacara yang tidak berguna.
Menurut sudut pandangan semiotik, singkowoton mempunyai erti yang pelbagai. Bagi pengertian umum masyarakat Murut, secara harfiahnya, singkowoton, asalnya tengkorak kepala musuh yang dipakai untuk upacara kukui. Apabila disapu dengan sejenis lemak binatang, orang yang memakainya tidak akan diganggu oleh makhluk halus. Darjat singkowoton semakin bertambah apabila ia dikatakan sebagai ‘mahkota seorang gadis’ dan menjadi pakaian suci dan mulia. Akan tetapi, Solisir (yang mendapat pendidikan moden dan menjadi pemimpin terulung) tidak mahu lagi menerima hakikat tersebut. Dia memandang rendah pada upacara singkowoton. Baginya, singkowoton tetap tengkorak manusia yang didapati dalam sesuatu pergaduhan. Ia bukanlah lambang kemenangan bagi seorang pahlawan di dalam sesuatu peperangan. Dengan kedudukannya masa kini, dia melihat singkowoton tidak punya apa-apa makna lagi, selain untuk upacara tarian magalang kaumnya di rumah panjang. Solisir juga tidak senang dengan cara masyarakatnya melayan tetamu di rumah panjang, kerana mereka sanggup berlapar asalkan dapat memenuhi selera orang luar.
Kemuncak cerpen ini yang dikaburi oleh mesejnya itu ialah apabila Solisir tidak mahu berkahwin (menurut alami, atau menurut kehendak ibunya) kerana untuk menjadi ‘penguasa’ bukan untuk ‘dikuasai’. Lantaran itu, Solisir telah berjumpa dengan seorang pakar ginekologi. Tetapi pakar itu enggan melakukan pembedahan supaya ia dimandulkan. Jika di dalam negeri ia tidak berjaya, kemungkinan dia dapat melakukannya sewaktu bertugas di luar negeri? Dengan ini, soal pertentangan terhadap konvensi, tradisi dan alami menjadi penting, kerana ia dapat dikaitkan dengan perwatakan dan psikologi seorang wanita. Perjuangan emansipasinya begitu mendadak, dan hal ini terjadi kerana pengalaman masa lampaunya yang cukup pahit. Kemiskinan, kejahilan (dalam pendidikan dan juga kepercayaan) kaum keluarganya yang ramai adik beradik itu menimbulkan ketakutannya. Justeru itu, setelah mendapat pendidikan moden dan pernah berada di dalam masyarakat yang lebih maju (ketika di luar negeri), lebih-lebih lagi setelah dia dilantik menjadi pemimpin, Solisir semacam menemui suatu dunia baru yang perlu ditangani sepenuhnya, demi kebahagiaan keluarga dan suku kaumnya.
Secara ironis, pengarang kelihatan tidak menyebelahi perjuangan wanita tunggal ini, kerana pada bahagian akhir cerpennya (ketika Solisir diminta memulakan satu upacara keramaian di dewan lansaran, ketika dia menghenjut-henjut di atas kayu gelegar untuk menari) Solisir semakin pening. Ada suara-suara di dalam dirinya yang saling berperang – yang mempersoalkan visi dan impiannya itu. Ketika nafasnya kian sesak, pengarang meletakkan metafora yang kian ironis: “cahaya matahari pudar selamanya. Setiap bakal penghuni alam telah terbunuh di dalam rahimnya. Kini, kesepian semakin mencengkam jiwanya.”
Dengan teknik pengakhiran karya naratif pengarang begitu, jelaslah perjuangan dan cita-cita wanita tunggal Murut ini gagal. Solisir gagal menentang alam, masyarakat dan tradisi, dan kita masih dapat mengatakan bahawa modenisasi belum tentu dapat mengalahkan tradisi!
Hakikat sastera adalah sesuatu yang tidak dapat diduga dan sukar menebak makna. Hal ini terjadi dalam cerpen ‘Diagnosis’ (tersiar pertama kali dalam Dewan Sastera, Mac 1991) di mana watak Igoh (doktor atau tokoh pengabdi) berdepan dengan persoalan kemanusiaan, apabila melakukan pembedahan atau diagnosis terhadap para pesakitnya, harus menerima pembalasannya yang setimpal. Akibat kemalangan di dalam kereta mewahnya pada suatu malam, kepala lutut dan kedua-dua siku doktor itu telah hancur. Pembedahan dan penggantian sendi ensel pada anggota tubuhnya terpaksa dilakukan oleh Dr. Wan, iaitu rakan sekongsinya. Akhirnya segala diagnosis yang dibuat oleh Dr Wan dan doktor lain (para pesakit) adalah satu proses raptur- rohani baginya. Dan ilusi itu juga mengajar kita untuk mengenali diri kita sebenarnya.
Cerpen ini lebih menarik dilihat dari sudut kemanusiaan, terutamanya apabila ia memperlihatkan dua jenis konflik oleh dua manusia yang berbeza kedudukan dan situasinya. Pertama, Igoh sebagai doktor berdepan dengan masalah pesakit dan juga ibu pesakit (yang menganggap dia doktor mata duitan). Konflik kedua pula ialah konflik wanita tua yang berdepan dengan masalah anaknya yang sakit (barangkali AIDS?) yang sekaligus berjaya mendedahkan kepada pembaca erti nilai kasih sayang yang dipertentangkan dengan nilai wang dan kebendaan.
‘Diagnosis’ juga berhasil membawa beberapa konflik oleh Dr. Igoh itu ke satu dunia lain – dunia ilusi. Kemalangan jalanraya terjadi kerana konflik doktor itu yang tidak habis-habis memikirkan persoalan wanita tua yang kematian anaknya. Wanita itu menuduh Igoh sebagai ‘mata duitan’, kerana dia gagal menyelamatkan nyawa anaknya. Hal ini terjadi tanpa sedar atau melalui sub-conciousness, teknik naratif pengarangnya. Perhatikan petikan berikut:
‘Igoh kurang mengerti bagaimana para pesakit yang dengan pakaian berlumuran darah, berbalut plaster of Paris di sana-sini, dibiarkan mengambil alih tugas pembantu klinik. Mereka terus mengusungnya dan kemudian meletakkannya ke dalam keranda beroda yang mereka tolak ke bilik bedah… Anehnya, Igoh seperti menyaksikan kejadian itu berlaku pada orang lain. Dia melihat bagaimana dirinya dipindahkan ke meja bedah….’
Di sini, Azmah Nordin berjaya membawa satu teknik baharu dalam menghubungkan masalah kejiwaan (psikologi) seorang doktor sehingga menghantarnya ke sebuah dunia lain, di mana fakta lain terjadi, dengan peraturan dan hukum yang berbeza dengan apa yang pernah berlaku di dunia kita. Di sinilah dunia pilihan, dunia yang disarankan atau disuguhkan pengarang – salah satu dari dunia mungkin (Aart van Zoest, 1990: 34). Dengan itu, jelaslah pengarang cuba menyampaikan tanda dan petanda kepada pembaca, bahawa dunia perubatan adalah satu dunia yang cukup mencabar. Mereka yang bergelut dalam dunia perubatan tidak pernah terlepas daripada menghadapi pelbagai persoalan, konflik dan krisis. Dengan adanya pertentangan tanda-tanda, dunia orang sakit juga merupakan dunia orang sihat. Atau andainya kehidupan orang yang sihat (seperti Dr Igoh) belum tentu dunianya terjamin sebagai sebuah dunia yang sentiasa sihat.
Khalayak juga mungkin akan melihat jauh ke dalam profesi kedoktoran. Misalnya, dengan beberapa dialog yang dilontarkan oleh wanita tua yang kecewa dengan usaha Dr. Igoh menyelamatkan nyawa anaknya itu, maka khalayak berkemungkinan akan lebih cenderung berhipotesis ke arah itu. Apabila diperhatikan makna kata diagnosis, ia bermula dengan kata diagnose (kata kerja) yang bermaksud menentukan; menetapkan jenis penyakit dari tanda-tandanya; sementara diagnosis (kata nama) adalah perihal menentukan (menetapkan) jenis penyakit dari tanda-tandanya (Kamus Dwi Bahasa: 357). Sementara dalam Kamus Dewan (2007: 348) ‘diagnosis adalah perbuatan mengenal pasti sesuatu penyakit daripada tanda dan gejalanya’, maka hukum semiotik memberikan peluang kepada pengarangnya untuk memperlihatkan siapakah sebenarnya yang sakit dan siapa pula yang sihat, di samping menjelaskan kepada pembaca tentang simptom (tanda-tanda) seorang doktor yang punya hati yang tulen, dan doktor yang punya hatinya yang palsu.
Pertentangan tanda-tanda ini sebagai dua kemungkinan berikut:
Cerpen ‘Bercak’ (tersiar pertamakali dalam Dewan Sastera, September 1991) makna harfiahnya ‘berbintik-bintik’, lebih senang kita memaknakannya sebagai virus. Kewujudan virus menarik, kerana berada dalam dua dunia – dunia komputer dan dunia manusiawi. Dunia komputer atau bahasa komputer ada bahasa canggihnya? Saya mulakan dengan kenyataan ini:
(“Aku cinta padamu bang. Aku sanggup melakukan apa saja, bang, untukmu. Apa saja. Tapi… ia menakutkan! Sungguh!”).
Dialog/kata-kata Toni di atas (diberikan penanda {tanda kurungan} = menandakan kehadiran akan dunia lainnya). Dalam konteks struktural, dialog-dialog semacam ini boleh dianggap sebagai satu unsur atau teknik ramalan (foreshadowing) yang cenderung memberikan indikasi atau informasi awal kepada pembaca terhadap perkembangan karya berkenaan seterusnya. Tetapi dalam kajian semiotik, tanda ini adalah indeks (penanda) yang cukup bererti.
Pada pertengahan cerita, pengarang memasukkan pula dialog (kata-kata di dalam kurungan) yang seperti berikut:
(Komputer itu… komputer itu… mempermainkanku!).
Apakah yang canggih? Virus komputer sudah menjadi malapetaka dalam era teknologi IT seluruh dunia masa kini. Dan akibat daripada fenomena ini juga menyebabkan hubungan antara T.B. dengan kekasihnya Toni menjadi berantakan. T.B. (Tuan Besar – apa yang besar?) apabila mendapat panggilan Toni (walaupun mereka bergaduh) dengan suara lunaknya menyebabkan dia kangen. Bagi orang yang pernah ‘merasa’ (berasa?) nikmat bercinta tentu dapat membaca dan memahami tanda/merasai keterangan yang berikut ini: “seperti seorang kekasih yang hodoh, dia tersandar terus di dinding kereta mewahnya, dalam titik-titik hujan yang kian lebat.”
Seterusnya pengarang memberikan citraan yang lebih menarik lagi kerana adanya lambang-lambang dan makna lain yang tersirat dalam menghuraikan ikatan atau hubungan T.B. dengan Toni, seorang pakar komputer – rakan sekongsi (luar dalam) yang berhasil menyelewengkan wang negara keluar negeri. Inilah antara lainnya tanda-tanda ciri kecanggihan di dunia komputer/dunia IT (tanda dunia fizikal). Sementara gambaran yang berikut ini pula:
“Dia terus merenung pintu banglo yang terbuka luas yang bagaikan menjemput tempias hujan masuk bertamu. Serta-merta dia terbayangkan Toni yang lembut gemalai. Toni yang pernah membuatkan tubuhnya panas tidak keruan. Agh! Toni, Toniii…!”
Untuk mendekatkan pembaca kepada makna virus yang disebutkan sebelumnya, perhatikan dialog berikut:
“Bang! Kau yang bertanggungawab menjadi alat perantaraan antara virus itu dengan aku! Kau!” jerkah Toni, hilang sabar. “Tubuhku kini sudah penuh degan virus. Kau menggunakan kemahiranku dalam memprogram komputer yang mengaut keuntungan. Jika keuntungannya kita nikmati bersama, mengapa tidak virusnya? Pada hal, kita yang bertanggungjawab menciptanya!”
Pengkaji lebih senang meletakkan persoalan cerpen ‘Bercak’ ini sebagai persoalan virus di dua dunia. Virus di dunia komputer dan virus di dalam diri (tubuh) T.B. dan Toni. Virus di dalam cerpen ini hadir sebagai tanda yang dapat dialami secara inderawi – secara sedar oleh pembaca. Virus di sini pada mulanya hadir sebagai tanda, tetapi akhirnya ia menjadi simptom. Ini terjadi apabila tanda yang mengenai sesuatu yang lain itu digunakan pengarang, disedari atau tidak di dalam komunikasi seseorang.
Virus yang berada dalam dunia fizikal adalah fenomena baharu yang mengancam ekonomi dunia antarbangsa apabila teknologi canggih (komputer) digunakan untuk melakukan penipuan dan penyelewengan. Virus di dalam komputer ini pula adalah tanda-tanda. Dan yang dimaksudkan dengan simptom adalah akibat yang boleh merosakkan tamadun, makna pembangunan atau teknologi itu sendiri. Ini kerana adanya usaha-usaha untuk mensabotaj perdagangan komputer, seperti yang disebutkan oleh pengarang tentang program yang canggih dan menakutkan itu.
“Hatinya menyumpah-nyumpah Amjaad Farooq Alvi dan Basir Faroow Alvi, pemilik kedai Brain Computer Services di Lahore, Pakistan yang menjadi orang yang mula-mula mencipta dan menyebarluaskan virus itu.”
Virus di dunia fizikal adalah sebagai satu amaran atau indeks untuk membalas penyelewengan Toni dan T.B. Kedua-duanya tidak terlepas dari menerima pembalasan atas kejahatan yang mereka lakukan di dalam memenuhi keperluan dua dunia masing-masing itu.
“Komputer yang selama ini cukup berjasa secara mengejut mengeluarkan bunyi-bunyi yang aneh dan keluar dari skrin. Talian komputer tercabut dari soketnya dan tidak lagi mengalirkan arus elektrik ke komputer itu, kini melibas-libas ke udara. Begitupun, komputer itu seperti terus hidup sambil memancar-mancar cahaya berwarna ungu kehijauan bersama bau yang sebusuk bau lubang neraka jahanam!”
Toni akhirnya terkorban oleh tindakan virus dari komputernya, manakala T.B. sempat menyelamatkan nyawanya. Tetapi virus itu rupa-rupanya sedia menunggu di mana-mana sahaja. Suatu hari, T.B. semasa di rumahnya juga turut menjadi korban virus. Talian komputer itu melibas terus dan ganas! Tetapi khalayak pembaca mungkin tidak mudah percaya untuk meletakkan indeks virus ini sebagai satu amaran tentang adanya suatu dunia lain yang dialami bersama oleh T.B. dan Toni. Indeks itu pula cuba dihubungkan oleh pengarang dengan fenomena masa kini. Justeru itu ada kecenderungan pengarang yang cuba menutup atau membungkus mesej dan makna lain, yakni sejenis virus yang ada di dalam tubuh Toni! Inilah amaran yang jelas apabila berlakunya virus yang sedang menetas dan memakan daging tubuh Toni dan T.B. iaitu virus yang sama-sama kita takuti pada masa kini, AIDS. Oleh yang demikian, hipotesis terhadap cerpen ini telah menjadi seperti berikut:
T.B.------------- lawan -----------TONI
1. Hasil kecanggihan komputer yang ditangani T.B. dan Toni melahirkan virus
2. Hasil/akibat penyelewengan komputer, T.B. dan Toni jadi korban (diserang virus komputer)
3. Hasil/akibat hubungan T.B. dan Toni melahirkan virus = AIDS
Dengan itu, kedudukan virus dalam cerpen ini menjadi seperti berikut:
V I R U S = SIMPTOM = SINDROM SOSIAL (Jenayah Komputer
dan AIDS)
Azmah Nordin banyak bermain dengan lambang dan tanda-tanda. Lambang-lambang ini terlalu rapat pula dengan kehidupan kita, manusia masa kini. Yang paling hampir dengan kehidupan seorang perempuan adalah bunga. Bunga dijadikan perlambangan kasih sayang. Dalam teks ‘Kuntum Perdamaian’, bunga menjadi objeknya yang cukup jelas dan mampu membekas sebagai karya yang tinggi daya estetiknya. Tetapi secara tidak disedari, cerpen yang mendapat hadiah kedua, Sayembara Cerpen Esso-Gapena ke VIII (1991) ini, pengarangnya telah mempertentangkan fungsi klasik ini (pada dua tempat dan di suasana yang berbeza).
Apabila Khadijah (doktor) setiap kali melihat Afiqah, gadis kecil datang melawat ibunya yang sakit (nazak) di hospital (salah satu tempat di bumi Arab yang dilanda perang, di mana pengarang tidak menyatakannya dengan jelas), Atiqah pasti membawa sekuntum bunga berwarna merah yang semerah bunga dari pohon Nunuk Ragang. Nunuk Ragang atau pohon ara merah itu terdapat di Sungai Liwagu dan Sungai Gelibang (daerah Ranau). Akar pohon ara merah itu pula dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit.
Kehadiran bunga merah (barangkali bukan bunga ros/mawar) yang dipertentangkan dengan ara merah/Nunuk Ragang itu berhasil memberi sifat realistik pada sebuah karya fiksi (Schipper, 1979: 5) yang membawa maksud ‘ilusi kenyataan’. Kenyataan yang dimaksudkan adalah kenyataan faktual yang dihasilkan oleh daya tangkap inderawi. Dalam hal ini, sama halnya dengan episod di mana Dr. Igoh (dalam cerpen ‘Diagnosis’) menemui kemalangan di dalam keretanya pada suatu malam, yang menghantarnya ke satu dunia ilusi (seperti yang dihuraikan sebelum ini) membawa maksud kenyataan faktual yang dihasilkan oleh daya tangkap inderawi. Dalam hal ini, teks nonfiksional (atau bukan cereka) pada umumnya dikatakan seratus peratus realistik (Aart van Zoest, 1990: 40).
Oleh kerana itu, bunga merah di tanah Arab menjadi sama penting dengan bunga ara merah di Sabah (negara Malaysia). Bunga merah di tanah Arab menjadi simbol kasih sayang (perdamaian) seorang anak terhadap ibunya yang sedang nazak. Bunga ara merah di Malaysia bisa menjadi penawar semua penyakit itu digabungkan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia yang dilanda derita. Sebenarnya, bunga ara merah di Arab ataupun bunga ros merah di Malaysia, hatta di mana-mana pun di dunia, mempunyai fungsi yang sama dalam konteks kemanusiaan sarwajagat.
Jika begitu Azmah Nordin telah berhasil melahirkan suatu mesej baharu yang menarik. Cinta pada perdamaian tidak memilih bangsa, ruang dan waktu. Pengertian tentang kedamaian dan percintaan tidak memilih usia dan budaya. Kanak-kanak seperti Atiqah (Arab) memahami fungsi bunga merah untuk ibunya. Bunga ara merah di Ranau pula menjadi mitos bagi penduduk Idaan yang sangat mujarab. Di sini pengarang telah memilih lambang bunga sebagai mesej, malahan sebagai mitos dan metafora perdamaian manusia universal.
Barangkali persoalan ini boleh ditarik ke peringkat antarabangsa pula. Jika dilihat daripada pendekatan ini, pengarang berjaya mensejajarkan kesusasteraan Melayu ke peringkat antarabangsa. Bukan sahaja kejayaannya memilih dan menggunakan ciri-ciri metafora atau simbol (ikon), juga mampu melahirkan watak srikandi Malaysia (Dr. Khadijah) yang sanggup berkhidmat dengan Persatuan Bulan Sabit Antarabangsa dalam membantu mangsa perang di Teluk. Tetapi tujuan pengkaji bukanlah untuk memperkatakan permasalahan ini. Menerusi kajian semiotik sudah tentu kita akan menemui pelbagai kemungkinan lain.
Oleh kerana cerpen ini diberikan tajuk ‘Kuntum Perdamaian’ – sebuah metafora, maka kita akan melihat signifikasinya sekuntum bunga. Sekuntum bunga atau bunga-bunga boleh menyatukan dunia untuk maksud keamanan manusia sejagat. Jadi bunga menjadi jambatan untuk mempertemukan Dr Khadijah (dari Malaysia) dengan Atiqah (mewakili generasi muda di Teluk yang ditimpa mala petaka perang) untuk melahirkan maksud dan konsep keamanan dan kedamaian itu.
Takdir menemukan Khadijah dengan Atiqah (dua insan dari dua negara berbeza budayanya – tetapi mempunyai pernyataan dan visi yang sama atau nasib yang sama?) iaitu nilai kasih sayang dan keamanan. Tetapi maksud takdir itu perlu dilihat dalam jaringan makna yang simbolik – masa kini Atqah (menderita/sengsara) membawa masa lampau Khadijah yang menderita/sengsara. Nasib Atiqahh/Khadijah kelihatan sama, tetapi berlaku di ruang dan masa yang berbeza.
Takdir dan Bunga
Masa kini Atiqah (bumi Teluk) lawan Masa lampau Khadijah (bumi Malaysia)
1. Kematian ayah 1. Kematian ayah (tentera)
2. Ibu sedang nazak (tidak mati) 2. Ibu sedang nazak (mati)
Atiqah akhirnya terkorban (kerana otaknya parah terkena serpihan peluru berpandu) dan buah pinggangnya diambil oleh Khadijah dan Dr. Sheikh Abdullah untuk diberikan kepada kanak-kanak lelaki (Mahmoud Noor). Jadi masa kini Atiqah berakhir dengan kematian. Sedangkan masa kini ibunya yang nazak itu masih hidup. Khadijah juga meneruskan perjuangan masa kininya dengan hati yang pilu, lantaran mengenangkan erti perang dan damai yang sudah dan sedang dilaluinya.
‘Kuntum Perdamaian’ sesuai dengan judulnya yang metaforis berhasil membawa persoalan yang menyentuh perasaan, nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi, terutamanya dalam usaha mengekalkan keamanan dan perdamaian. Cerpen ini menepati dengan sistem tanda, baik bagi memenuhi unsur-unsur ikon (kemiripan) mahupun indeks (tanda yang hampir dengan kewujudan kita), di samping sebagai satu lambang yang menyangkut persoalan kewanitaan yang penuh nilai-nilai alami dan kelembutan itu.
Charles Sanders Peirce menekankan tentang ikon, kerana dunia ini penuh dengan ikon yang topologis, diagramatis dan metaforis sifatnya. Yang metaforis itu mungkin kita lihat semacam tidak ada kemiripan atau kesamaan antara tanda dan acuannya, tetapi antara kedua acuan itu ditunjuk oleh tanda yang sama (sekuntum bunga berwarna merah) yang menyangkut kewujudan dua manusia yang berlainan budayanya.
Empat buah cerpen karya Azmah Nordin yang dibincangkan, iaitu ‘Singkowoton’, ‘Diagnosis’, ‘Bercak’, dan ‘Kuntum Perdamaian’ memiliki gaya naratif dan kesan yang tersendiri. Pengarang memanfaatkan sistem semiotik dengan baik, dengan pengolahan persoalan yang berbeza-beza. Namun dunia mungkin yang dialami oleh watak-watak wanitanya itu berjaya meninggalkan gema ketukangan naratif yang unik kepada pembaca. Bahkan tidak kurangnya nilai-nilai keindahan dalam usahanya memapar dan mengkritik sikap manusia yang selalu kalah dengan situasi, sekalipun memiliki daya ilusi yang tinggi.
Dalam bidang semiotik, dan sesuai pula dengan persekitaran budaya Melayu dan masyarakat majmuk Malaysia, penggunaan mitos adalah satu cara pengarang melahirkan pemikiran atau ideolginya yang khas. Penciptaan mitos baru ataupun usaha melawan mitos yang sudah ada itu boleh dianggap sebagai satu usaha pengarang untuk mencipta sebuah dunia mungkin, atau dunia yang disarankan. Idea dan teknik naratif begini merupakan satu ciri khas dalam semiotik Melayu yang unik dan istimewa. Ini kerana mengikut teori Paul Ricoeur dalam bukunya, The Hermeneutics and The Human Sciences (1984), bahawa selalu ada pertentangan antara dunia empiris yang dirujuk oleh teks dan suatu possible world, suatu proposed world, yang diusulkan dalam teks, dan diciptakan oleh teks itu sendiri. Maka dengan cara itu juga, pembaca akan mendapat kesan bahawa dunia mungkin – dunia yang potensial ini benar-benar suatu dunia yang real, sekalipun belum nyata, kerana dunia pada dasarnya adalah dunia manusia yang dibangun oleh manusia sendiri, mengikut keinginan dan impiannya (Ignas Kleden, 2004: 158).
Demikianlah hubungan tanda dengan tatabudaya (saya lebih senang menyebutnya sebagai ‘siasah dunia kreatif dan Semiotik Melayu’), diperlihatkan oleh Azmah Nordin yang mensahihkan tesis atau pendapat Umberto Eco, bahawa simbol atau tanda itu merupakan transformasi pengalaman ke dalam idea pengarang yang dilahirkan melalui ciptaan imej-imej tertentu. Dengan pengertian itu, dapat dikatakan bahawa idea dilahirkan oleh pengarang dan ia sentiasa hidup, dan kemudiannya ia berkembang dalam proses pemaknaan khalayak pembaca. Dengan kata lain, simbol adalah satu alegori (signifier) yang pada dasarnya sudah memiliki petanda (signified). Inilah sebahagian pemikiran kreatif Azmah Nordin yang subur dan mempersonakan kita.
BIBLIOGRAFI
Kleden, Ignas, 224, Sastra Indonesia dalam Enam Pertanyaan. Jakarta: Freedom Institute dan Grafiti
Lotman, Jurij, 1977. The Structure of the Artistic Text. Ann Arbor: University of Michigan.
Ricoeur, Paul. 1984. Hermeneutics and The Human Sciences. Cambridge: Cambridge University Press.
Van Zoest, Aart, 1990. Fiksi dan Nonfiksi dalam Kajian Semiotik. Jakarta: Intermasa.
Wednesday, October 15, 2008
BAIK BURUK SASTERA CIBER
BAIK BURUK SASTERA CIBER
Oleh A RAHIM ABDULLAH
ADA beberapa hal yang selalu memukau kita, tentang cita-cita dan harapan yang hendak kita capai. Selama manakah cita-cita dan harapan itu dapat kita capai dengan kadar waktu yang relatif singkat? Berdasarkan pengalaman konvensional, misalnya untuk menjadi pengarang terkenal atau sasterawan yang berbobot, ia tidaklah mudah dicapai. Dalam dunia sastera Melayu, jarang orang dapat melonjak kedudukannya dan dengan mudah, serta pantas dinobatkan sebagai sasterawan. Selain mampu bertahan dan berjaya menghadapi pelbagai ujian dalam kancah penulisan dan dunia persuratan, sekurang-kurangnya dia bergelumang selama 20 tahun, sebelum diterima sebagai sasterawan,.
Barangkali sejak memasuki abad ke 21, dunia sastera kita sudah berubah pola-polanya. Rasa ingin menulis dan sikap ghairah disebut penyair atau sasterawan itu, tidaklah perlu lagi menunggu sehingga 20 tahun. Ini kerana, kita mempunyai kemudahan dan kecanggihan teknologi yang boleh mendorong atau terus membawa kita ke puncak – sebagai sasterawan ciber dengan jangka waktu relatif singkat! Sastera siber mungkin akan kita ertikan atau istilahkan sebagai sastera alternatif. Hal ini kita dasarkan pada pendapat Nanang Suryadi, dalam sebuah eseinya yang termuat dalam www.Cybersastra.net. Kemungkinan itu katanya ada yang baik dan ada yang buruk. Katanya lagi, dalam internet terdapat situs-situs yang kontradiktif dari segi moraliti. Meskipun demikian, baik dan buruk internet itu tergantung pada pelaku yang menggunakannya. Oleh itu tegasnya, orang jangan bersikap secara apriori terhadap internet sebelum mengenalnya dengan baik. Kebaikan internet antara lain terletak pada kenyataan bahawa di dalamnya ada situs-situs informasi langka yang dapat dengan mudah ditemukan sehingga dapat memicu kreativiti dan mutu karya kreatif. Mereka yang ingin mengakses informasi tersebut diperlukan penguasaan berbagai bahasa, kerana informasi-informasi itu disuguhkan dalam berbagai bahasa.
Jadi maksud sastera pilihan itu tentulah merujuk kepada mereka yang percaya bahawa ciber dan internet ini banyak membawa segala kemudahan kepada manusia yang mahir memanfaatkannya. Paling tidak sebagai dunia baru dan dunia pilihan untuk mereka melepaskan impian dan cita-cita sehingga tidak perlu lagi ada atau mereka harus tunduk dengan pola-pola sastera konvensional. Dalam sastera konvensional, misalnya sastera bercetak, baik di akhbar, majalah ataupun buku memerlukan penapisan, pengadilan, penyuntingan dan penganggungjawaban, sepertimana yang kita fahami selama ini.
Tetapi selain berdepan dengan masalah kualiti dan autoriti, kawalan atau penapisan, editorial dan penangungjawaban, sastera ciber ini juga selalu berdepan dengan masalah keaslian dan kepalsuan sehingga sukar untuk kita menerima keabsahannya. Hal ini boleh mengakibatkan berlakunya perkembangan sastera secara artifisial. Apabila berlaku atau wujudnya satu pola sastera yang lebih condong kepada artifisial, maka di manakah nilai-nilai keaslian (positif) yang boleh kita pertahankan? Mereka yang terlibat dalam dunia sastera ciber ini juga nantinya akan dianggap sebagai pengarang atau sasterawan artifisial yang banyak pula tuntutan artifisial – didorong oleh imaginasi dan tuntutan nafsu, sehingga boleh menyimpang dari matlamat asal lahirnya sesebuah karya sastera yang murni.
Selain itu, kami juga sangat obses dengan hakikat seni dan realiti dalam bidang ilmu. Hal ini mungkin akan disalahtafsir oleh penulis ciber. Penulis yang berilmu (ini tentunya syarat penting seorang penulis dalam abad kini dan akan datang) harus faham bahawa realiti tidak hanya mencakupi alam yang tidak bernafas, tetapi juga kehidupan manusia, baik untuk masa kini, masa depan, mahupun untuk masa lalu. Sebagai pengarang yang besar dan bertanggungjawab, dia berdepan dengan tuntutan realiti.
Sekiranya kita berdepan dengan orang yang ghairah bercakap: “Aku mau jadi pelukis tersohor!”, dapat kita katakan bahawa kata-katanya itu kata-kata gila, kerana dia tidak pernah belajar melukis! Begitu juga kalau ada orang mengatakan: “Aku mau jadi seorang penyair,” tetapi dia tidak pun mempelajari tentang manusia dan alam, maka orang itu bolehlah kita anggap sebagai manusia yang tidak berjejak pada dunia nyata!
Dalam hal ini, fikiran bukan antitesis dari realiti, kerana fikiran kita dilahirkan oleh realiti dan berhasrat melaksanakannya. Ia juga merupakan sebahagian integral dari realiti. Sedangkan sifat kegilaan bermimpi, yang dilahirkan oleh keinginan dan keghairahan orang-orang yang mengabaikan waktu dengan duduk berangan-angan dan matanya terpejam adalah antitesis dari realiti! Begitulah juga kehidupan sebenar tidak sahaja mencakupi kebendaan manusia, tetapi juga kegiatan-kegiatan intelektual dan moralnya. Kita bimbang jika dunia sastera disalahgunakan (sastera ciber dan internet) di mana artifisial dan penipuan akan terjadi termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan perasaan dan fikiran.
Dulu sastera sebagai hasil fikiran sangat kita jaga (menghampiri tahap ‘mempertahankan’) agar terus terpelihara sifatnya sebagai sastera bertulis. Hasil sastera yang tak bertulis (mungkin sahaja kita kelaskan sebagai ‘sastera omong-omong’, sastera di udara’, atau ‘sastera di kaca TV’ yang dipertuturkan orang) tentunya tidak menjadi pilihan kita. Atau kalau adapun kita mungkin meletakkannya ke dalam kelas dua? Dengan kata lain, kita terlalu obses dengan sastera bertulis, yang termuat dalam akhbar, majalah dan kemudiannya dibukukan. Kesemua karya di media cetak itu dapat kita hayati dan kritik. Lebih-lebih lagi apabila ia diterbitkan dalam bentuk buku. Ia seolah-olah mensahihkan kewujudannya sebagai hasil sastera yang inheren sifatnya.
Begitulah yang terjadi dalam arus peradaban dan pembangunan tamadun manusia (semua bangsa) yang dianggap maju, selalunya bertolak pada hasil sastera yang bertulis. Kerana dengan adanya hasil sastera bertulis (dalam bentuk buku) boleh dijadikan bukti dan data sebagai sebuah hasil sastera yang diperakui. Pada masa itu, dunia maya belum menyentuh kalbu kita. Dunia maya mustahil masuk ke dalam rumah kita. Mustahil dapat mempengaruhi dan menipu kita. Orang lebih percaya akan (terhadap) kekuatan sebuah buku. Ini kerana, sastera yang dibukukan adalah representasi dari sastera yang sebenarnya.
Buku juga adalah suatu entiti yang mandiri – berdiri sendiri, yang boleh kita pisahkan dari buku-buku lain, dan juga dari benda-benda lain. Hal ini menyebabkan kewujudan atau kemandirian sastera buku merepresentasikan sekaligus gagasan mengenai kemandirian sastera di hadapan segala sesuatu yang lain yang berada di luar dirinya. Buku mempunyai sempadan, atau garis pemisah yang memisahkannya dari yang lain. Ia mempunyai sempadan yang awal dan yang akhir. Garis pemisah buku ini (yang awal dan yang akhir) dapat pula merepresentasikan garis antara sastera dengan dunia yang ada di luarnya. Selain itu, buku juga mengimplikasikan adanya keutuhan dan kesatuan diri yang kemudiannya menghasilkan pula kesatuan dan keutuhan sastera.
Dengan bangkitnya sastera ciber ini, kelihatan semacam wujudnya ironi dalam perkembangan sastera Melayu mutakhir. Kerana kewujudan sastera ciber ini membuatkan anak muda kita begitu ghairah mengeluarkan karya kreatif mereka menerusi internet. Tanpa perlukan proses penyuntingan atau seleksi dan sebagainya mereka terus menerbitkan karya menerusi media maya ini, dan akhirnya ada pula anggapan negatif, bahawa internet dijadikan wadah sebagai pembuangan karya-karya ‘sampah!’. Justeru internet dianggap suatu alternatif baharu bagi para penulis yang frustrasi, kerana terpaksa menunggu begitu lama.
Dalam wacana umum ini, penulis tidak ingin menyentuh masalah gaya bahasa dan kewajaran kesan estetik yang digunakan oleh penulis-penulis sastera ciber ini kerana ia memerlukan suatu analisis yang lebih objektif. Seperti yang pernah disuarakan oleh Faruk H T dalam eseinya.”Cybersastra: Penjelajahan Awal Terhadap Sastra di Internet’ (2001: 215-263), bahawa ‘internet merupakan salah satu bahagian penting dan bahkan hujung tombak media massa audio-visual elektronik… Kadang-kadang, penggunaan dan antusiasme terhadap internet, dihadapkan dengan kecenderungan yang demikian menjadi ironis. Kegembiraan hidup di dalamnya sekaligus disertai oleh perasaan was-was dan rasa bersalah atau berdosa. Tidak dapat dipastikan ke mana arah gerakan atau kehidupan sastera yang ada di internet itu nantinya. Kemenduaannya dapat membawanya kepada etnosentrisme atau fundamentalisme sastera internet, tetapi dapat juga kepada pluralisme yang toleran, lokaliti yang mengglobal. Belum juga jelas, bagaimana respon dunia sastera cetak terhadapnya, bila sastera bawah tanah itu muncul ke permukaan dan melakukan pukulan balik terhadap dunia sastera cetak’, maka kita berharap para penulis dan sasterawan siber ini akan memahami tuntutan ilmu, realiti masyarakat dan bangsanya, dan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah.
Menjadi sasterawan Muslim baik menerusi dunia internet atau dunia konvensional, selain memiliki bakat dan ilmu penulisan, dia juga harus seorang yang beriman, cinta akan ilmu, ikhlas atau muhlisin dalam menghasilkan karya, dan senantiasa berniat baik (muhsinin) dalam melaksanakan amanah Allah yang dipikul ke atas bahunya. Dunia penulisan bukanlah dunia pilihan untuk menaburkan ideologi dan fitnah yang boleh merosakkan perpaduan, tetapi dia harus menjadikan dunia penulisannya sebagai ruang untuk manusia mengutip nilai-nilai kebaikan yang dihasilkannya dengan penuh bijaksana seadanya!.
(tersiar dalam majalah Tunas Cipta, Oktober 2008)
arahimabdullah
5sept2008

BUTIRAN PERIBADI
Nama: ABD. RAHIM BIN ABDULLAH
Tarikh Lahir: 21 Januari 1948
Tempat lahir: Kangar, Perlis.
A RAHIM ABDULLAH dilahirkan di Kangar, Perlis pada tahun 1948. Mendapat pendidikan awal di Perlis dan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra Kedah hingga lulus STPM. Menyambung pendidikan dalam bidang Pengurusan Perniagaan di ITM Petaling Jaya, dan Sarjana Muda Sastera (Kelas Dua Atas) bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Universiti Malaya Kuala Lumpur. Pernah bertugas sebagai Penyelia di Jabatan Perangkaan Malaysia, Underwriter dan Pegawai Pemasaran Insuran dan Broker, sebelum berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pembantu Penyelidik (1978). Jawatan terakhirnya sebagai Pegawai Perancang Bahasa, di Bahagian Kesusasteraan Bandingan, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Setelah bersara awal (1994), memasuki dunia persuratkhabaran sebagai Pengarang/Editor Sastera dan Budaya, akhbar Berita Harian dan Berita Minggu selama enam tahun. Kemudiannyanya bertugas dengan Yayasan Kesenian Perak di Ipoh, dan Penulis Bahasa Melayu (untuk program Sekolah Bestari) sebelum menjadi Pegawai Penerbitan di Jabatan Canselori, Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah, selama lapan bulan. Menjabat jawatan Ketua Jabatan Penulisan Kreatif, di samping menjadi pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA) mulai Julai 2001 hingga Ogos 2005. Kini pensyarah kontrak di Fakulti Penulisan, ASWARA, dan giat menjalankan pelbagai penelitian dalam bidang kebudayaan dan kesusasteraan Melayu/Nusantara.
Karya-karyanya meliputi bidang puisi, cerpen, drama pentas, drama TV, filem cereka dan dokumentari, lirik lagu, dan esei-kritikan pernah memenangi beberapa sayembara mengarang sejak 1970-an. Buku-bukunya yang diterbitkan antara lain, dalam bidang puisi: Catatan Orang Berdua (1980), Arah Pengalaman (1991/1996), Kembara Arjuna (1992) dan Di Sudut Sukma (2000/2008), dan Di Hujung Utopia (2008). Karya cerpen: Potret di Atas Piano (1983), Antara Hujan dan Harapan (1991); drama pentas: Asar Belum Berakhir (1984) dan Penjual Bunga (1992); novel kanak-kanak dan remaja: Matahari di Hujung Kota dan Selagi Dusunku Berbuah (1987).
Buku-buku kajian serta esei-kritikan: Penilaian Kembali Sejarah Melayu- STPM (1984, 1991); Ulasan dan Kajian Lengkap Drama Tiga Zaman (1984); Seorang Tua di Kaki Gunung: Satu Analisa (1985); Dua Buah Novel Pemenang Sayembara: Satu Perbandingan (tesis Sarjana Muda Sastera, 1985); Tema Hubungan Kaum Dalam Karya Sastera Malaysia (penyelenggara monograf sastera, 1987); Melodi Hidup (puisi, 1989); Cempaka Berdarah (drama, 1990); Cermin (cerpen, 1990); Puisi Pancaran Budi (1990), Dari Pulau ke Pulau (cerpen 1992), Dendam Berdarah (drama,1993), Pemikiran Sasterawan Nusantara: Suatu Kajian Perbandingan (1995); Koleksi Terpilih S.N. Keris Mas (1995); Tradisi & Seni Sezaman: Isu-isu dan Cabaran (1999); S. N. Keris Mas: Tanggapan Tokoh dan Sarjana (2001); Biografi Raja Sabarudin Abdullah (2002), Citra Manusia dalam Puisi Penyair ASEAN (2007), dan Novelis Nusantara: Pemikiran dan Ideologi (2008).
Buku-bukunya yang bakal terbit: Semiotika dalam Sastera Melayu; Cerpen untuk Saodah, Biografi S..N. Keris Mas, dan Pemikiran Empat Penyair Nusantara. Karya-karyanya pernah memenangi pertandingan mengarang (cerpen, drama pentas, puisi, dan lirik lagu) antaranya: Pemikiran Sasterawan Nusantara: Suatu Kajian Perbandingan (1995) menerima Hadiah Sastera Malaysia (Buku Kajian); puisi ‘Cinta Nusantara’, dan esei ‘Melihat Dunia Mungkin dalam Drama-drama Noordin Hassan’ (1997) menerima Hadiah Sastera Perdana. Pernah menjadi Setiausaha Satu PENA, AJK GAPENA, AJK Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia, ahli MACP, Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM), Ketua Dua Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA), dan Bendahari Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia .
Memberi bimbingan penulisan kreatif dan deskriptif di seluruh tanah air, di samping panel penilai pelbagai sayembara mengarang sejak 1980-an sehingga kini, antara lain: Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Sastera Formula Malaysia (2000), Hadiah Sastera Perpaduan, dan Hadiah Sastera Perdana sejak 1999. Pernah dilantik sebagai pembimbing Bengkel Penulisan Esei MASTERA (peringkat serantau), di Sekayu, Musi Banyuasin, Palembang, Indonesia, pada 2 hingga 7 Ogos 2004.

Subscribe to:
Comments (Atom)