Wednesday, October 15, 2008

BAIK BURUK SASTERA CIBER

BAIK BURUK SASTERA CIBER

Oleh A RAHIM ABDULLAH


ADA beberapa hal yang selalu memukau kita, tentang cita-cita dan harapan yang hendak kita capai. Selama manakah cita-cita dan harapan itu dapat kita capai dengan kadar waktu yang relatif singkat? Berdasarkan pengalaman konvensional, misalnya untuk menjadi pengarang terkenal atau sasterawan yang berbobot, ia tidaklah mudah dicapai. Dalam dunia sastera Melayu, jarang orang dapat melonjak kedudukannya dan dengan mudah, serta pantas dinobatkan sebagai sasterawan. Selain mampu bertahan dan berjaya menghadapi pelbagai ujian dalam kancah penulisan dan dunia persuratan, sekurang-kurangnya dia bergelumang selama 20 tahun, sebelum diterima sebagai sasterawan,.

Barangkali sejak memasuki abad ke 21, dunia sastera kita sudah berubah pola-polanya. Rasa ingin menulis dan sikap ghairah disebut penyair atau sasterawan itu, tidaklah perlu lagi menunggu sehingga 20 tahun. Ini kerana, kita mempunyai kemudahan dan kecanggihan teknologi yang boleh mendorong atau terus membawa kita ke puncak – sebagai sasterawan ciber dengan jangka waktu relatif singkat! Sastera siber mungkin akan kita ertikan atau istilahkan sebagai sastera alternatif. Hal ini kita dasarkan pada pendapat Nanang Suryadi, dalam sebuah eseinya yang termuat dalam www.Cybersastra.net. Kemungkinan itu katanya ada yang baik dan ada yang buruk. Katanya lagi, dalam internet terdapat situs-situs yang kontradiktif dari segi moraliti. Meskipun demikian, baik dan buruk internet itu tergantung pada pelaku yang menggunakannya. Oleh itu tegasnya, orang jangan bersikap secara apriori terhadap internet sebelum mengenalnya dengan baik. Kebaikan internet antara lain terletak pada kenyataan bahawa di dalamnya ada situs-situs informasi langka yang dapat dengan mudah ditemukan sehingga dapat memicu kreativiti dan mutu karya kreatif. Mereka yang ingin mengakses informasi tersebut diperlukan penguasaan berbagai bahasa, kerana informasi-informasi itu disuguhkan dalam berbagai bahasa.

Jadi maksud sastera pilihan itu tentulah merujuk kepada mereka yang percaya bahawa ciber dan internet ini banyak membawa segala kemudahan kepada manusia yang mahir memanfaatkannya. Paling tidak sebagai dunia baru dan dunia pilihan untuk mereka melepaskan impian dan cita-cita sehingga tidak perlu lagi ada atau mereka harus tunduk dengan pola-pola sastera konvensional. Dalam sastera konvensional, misalnya sastera bercetak, baik di akhbar, majalah ataupun buku memerlukan penapisan, pengadilan, penyuntingan dan penganggungjawaban, sepertimana yang kita fahami selama ini.

Tetapi selain berdepan dengan masalah kualiti dan autoriti, kawalan atau penapisan, editorial dan penangungjawaban, sastera ciber ini juga selalu berdepan dengan masalah keaslian dan kepalsuan sehingga sukar untuk kita menerima keabsahannya. Hal ini boleh mengakibatkan berlakunya perkembangan sastera secara artifisial. Apabila berlaku atau wujudnya satu pola sastera yang lebih condong kepada artifisial, maka di manakah nilai-nilai keaslian (positif) yang boleh kita pertahankan? Mereka yang terlibat dalam dunia sastera ciber ini juga nantinya akan dianggap sebagai pengarang atau sasterawan artifisial yang banyak pula tuntutan artifisial – didorong oleh imaginasi dan tuntutan nafsu, sehingga boleh menyimpang dari matlamat asal lahirnya sesebuah karya sastera yang murni.

Selain itu, kami juga sangat obses dengan hakikat seni dan realiti dalam bidang ilmu. Hal ini mungkin akan disalahtafsir oleh penulis ciber. Penulis yang berilmu (ini tentunya syarat penting seorang penulis dalam abad kini dan akan datang) harus faham bahawa realiti tidak hanya mencakupi alam yang tidak bernafas, tetapi juga kehidupan manusia, baik untuk masa kini, masa depan, mahupun untuk masa lalu. Sebagai pengarang yang besar dan bertanggungjawab, dia berdepan dengan tuntutan realiti.

Sekiranya kita berdepan dengan orang yang ghairah bercakap: “Aku mau jadi pelukis tersohor!”, dapat kita katakan bahawa kata-katanya itu kata-kata gila, kerana dia tidak pernah belajar melukis! Begitu juga kalau ada orang mengatakan: “Aku mau jadi seorang penyair,” tetapi dia tidak pun mempelajari tentang manusia dan alam, maka orang itu bolehlah kita anggap sebagai manusia yang tidak berjejak pada dunia nyata!

Dalam hal ini, fikiran bukan antitesis dari realiti, kerana fikiran kita dilahirkan oleh realiti dan berhasrat melaksanakannya. Ia juga merupakan sebahagian integral dari realiti. Sedangkan sifat kegilaan bermimpi, yang dilahirkan oleh keinginan dan keghairahan orang-orang yang mengabaikan waktu dengan duduk berangan-angan dan matanya terpejam adalah antitesis dari realiti! Begitulah juga kehidupan sebenar tidak sahaja mencakupi kebendaan manusia, tetapi juga kegiatan-kegiatan intelektual dan moralnya. Kita bimbang jika dunia sastera disalahgunakan (sastera ciber dan internet) di mana artifisial dan penipuan akan terjadi termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan perasaan dan fikiran.

Dulu sastera sebagai hasil fikiran sangat kita jaga (menghampiri tahap ‘mempertahankan’) agar terus terpelihara sifatnya sebagai sastera bertulis. Hasil sastera yang tak bertulis (mungkin sahaja kita kelaskan sebagai ‘sastera omong-omong’, sastera di udara’, atau ‘sastera di kaca TV’ yang dipertuturkan orang) tentunya tidak menjadi pilihan kita. Atau kalau adapun kita mungkin meletakkannya ke dalam kelas dua? Dengan kata lain, kita terlalu obses dengan sastera bertulis, yang termuat dalam akhbar, majalah dan kemudiannya dibukukan. Kesemua karya di media cetak itu dapat kita hayati dan kritik. Lebih-lebih lagi apabila ia diterbitkan dalam bentuk buku. Ia seolah-olah mensahihkan kewujudannya sebagai hasil sastera yang inheren sifatnya.

Begitulah yang terjadi dalam arus peradaban dan pembangunan tamadun manusia (semua bangsa) yang dianggap maju, selalunya bertolak pada hasil sastera yang bertulis. Kerana dengan adanya hasil sastera bertulis (dalam bentuk buku) boleh dijadikan bukti dan data sebagai sebuah hasil sastera yang diperakui. Pada masa itu, dunia maya belum menyentuh kalbu kita. Dunia maya mustahil masuk ke dalam rumah kita. Mustahil dapat mempengaruhi dan menipu kita. Orang lebih percaya akan (terhadap) kekuatan sebuah buku. Ini kerana, sastera yang dibukukan adalah representasi dari sastera yang sebenarnya.

Buku juga adalah suatu entiti yang mandiri – berdiri sendiri, yang boleh kita pisahkan dari buku-buku lain, dan juga dari benda-benda lain. Hal ini menyebabkan kewujudan atau kemandirian sastera buku merepresentasikan sekaligus gagasan mengenai kemandirian sastera di hadapan segala sesuatu yang lain yang berada di luar dirinya. Buku mempunyai sempadan, atau garis pemisah yang memisahkannya dari yang lain. Ia mempunyai sempadan yang awal dan yang akhir. Garis pemisah buku ini (yang awal dan yang akhir) dapat pula merepresentasikan garis antara sastera dengan dunia yang ada di luarnya. Selain itu, buku juga mengimplikasikan adanya keutuhan dan kesatuan diri yang kemudiannya menghasilkan pula kesatuan dan keutuhan sastera.

Dengan bangkitnya sastera ciber ini, kelihatan semacam wujudnya ironi dalam perkembangan sastera Melayu mutakhir. Kerana kewujudan sastera ciber ini membuatkan anak muda kita begitu ghairah mengeluarkan karya kreatif mereka menerusi internet. Tanpa perlukan proses penyuntingan atau seleksi dan sebagainya mereka terus menerbitkan karya menerusi media maya ini, dan akhirnya ada pula anggapan negatif, bahawa internet dijadikan wadah sebagai pembuangan karya-karya ‘sampah!’. Justeru internet dianggap suatu alternatif baharu bagi para penulis yang frustrasi, kerana terpaksa menunggu begitu lama.

Dalam wacana umum ini, penulis tidak ingin menyentuh masalah gaya bahasa dan kewajaran kesan estetik yang digunakan oleh penulis-penulis sastera ciber ini kerana ia memerlukan suatu analisis yang lebih objektif. Seperti yang pernah disuarakan oleh Faruk H T dalam eseinya.”Cybersastra: Penjelajahan Awal Terhadap Sastra di Internet’ (2001: 215-263), bahawa ‘internet merupakan salah satu bahagian penting dan bahkan hujung tombak media massa audio-visual elektronik… Kadang-kadang, penggunaan dan antusiasme terhadap internet, dihadapkan dengan kecenderungan yang demikian menjadi ironis. Kegembiraan hidup di dalamnya sekaligus disertai oleh perasaan was-was dan rasa bersalah atau berdosa. Tidak dapat dipastikan ke mana arah gerakan atau kehidupan sastera yang ada di internet itu nantinya. Kemenduaannya dapat membawanya kepada etnosentrisme atau fundamentalisme sastera internet, tetapi dapat juga kepada pluralisme yang toleran, lokaliti yang mengglobal. Belum juga jelas, bagaimana respon dunia sastera cetak terhadapnya, bila sastera bawah tanah itu muncul ke permukaan dan melakukan pukulan balik terhadap dunia sastera cetak’, maka kita berharap para penulis dan sasterawan siber ini akan memahami tuntutan ilmu, realiti masyarakat dan bangsanya, dan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah.

Menjadi sasterawan Muslim baik menerusi dunia internet atau dunia konvensional, selain memiliki bakat dan ilmu penulisan, dia juga harus seorang yang beriman, cinta akan ilmu, ikhlas atau muhlisin dalam menghasilkan karya, dan senantiasa berniat baik (muhsinin) dalam melaksanakan amanah Allah yang dipikul ke atas bahunya. Dunia penulisan bukanlah dunia pilihan untuk menaburkan ideologi dan fitnah yang boleh merosakkan perpaduan, tetapi dia harus menjadikan dunia penulisannya sebagai ruang untuk manusia mengutip nilai-nilai kebaikan yang dihasilkannya dengan penuh bijaksana seadanya!.

(tersiar dalam majalah Tunas Cipta, Oktober 2008)

arahimabdullah
5sept2008

No comments: