PENGALAMAN SOSIAL DALAM PUISI ZAM ISMAIL
Oleh A RAHIM ABDULLAH
HUBUNGAN
sastera dan masyarakat sangat erat dan dalam. Fakta sastera yang terjadi dan
menjelma di depan mata penyair dan seniman akan tercerna semula dalam anyaman
seni kreatif masing-masing. Kerana itulah fakta sastera merupakan unsur yang
tidak pernah terpisah dari cara berfikir, menilai dan menafsir individu
berkenaan.
Justeru,
pandangan yang dikatakan Vladimir Jdanov (1956) bahawa sastera harus dipandang
dalam hubungan yang tidak terpisah dengan kehidupan masyarakat, latar belakang
unsur sejarah dan sosial yang mempengaruhi pengarang, serta harus mengabaikan
sudut pandang subjektif dan sewenang-wenang yang menganggap setiap buku sebagai
suatu karya yang independen dan berdiri sendiri. Salah satu kriteria penting
metode itu ialah pertamanya suatu karya seni adalah tingkat kesetiaannya dalam
mengungkapkan kenyataan dengan segala kerumitannya. Nampaknya karya-karya yang
dihasilkan oleh penyair dan sasterawan Zam Ismail banyak yang boleh ditafsir
dari sudut perkembangan sosiobudaya bangsa. Beliau menumpukan perhatiannya pada
nasib anak bangsa yang tidak terbela dan ketinggalan dalam mengejar kemajuan akibat
kemiskinan dan tidak cukup pendidikan.
ZAM ISMAIL, 71 tahun (nama asal Mohd
Ismail Zam-zam, lahir 19 Mei 1943 di Kampung Parit Rasipan, Batu Pahat, Johor)
adalah penyair yang versatile,
bergiat tatkala usia muda, dan sajak awalnya tersiar seusia dengan kelahiran
negara Malaysia (1963). Sehingga kini Zam Ismail (ZI) berjaya menerbitkan enam
(6) buah kumpulan puisi perseorangan, bermula dengan Perempuan yang Kutemui (1973), Setelah
Dinihari (1983), Basah dalam Ingatan (1994), Mencari Akar di Ladang Terbakar (2011), dan Merentas Cakerawala Lima
Dasawarsa: Puisi Pilihan 1963-2013
(2014).
Karya puisi ZI juga pernah memenangi
beberapa kali hadiah sastera kebangsaan sejak 1971, antaranya: ‘Air Papan’ (Mingguan Malaysia 1 Mei 1971). Puisi ini
kemudiannya dijadikan teks sastera untuk Tingkatan Enam mulai 1977; ‘Bebayang’
(Dewan Sastera 1971) mendapat Hadiah
Sastera Malaysia 1971; ‘Kita Hanya Penonton’ (Mingguan Malaysia 1994) mendapat Hadiah Sastera Utusan Public Bank
1994; ‘Jalan-jalan Raya Kotaku’ (Mingguan
Malaysia 4 Jun 1995) mendapat hadiah utama Hadiah Sastera Utusan-Public
Bank 1995; kumpulan puisi Basah dalam
Ingatan (DBP 1995) menang Hadiah
Sastera Darul Ta’zim 1996; dan ‘Hujung Tanah’ (1998) mendapat hadiah eceran
Hadiah Sastera Darul Ta’zim 1996.
Selain pingat PJK dari Kerajaan Johor,
dan Tokoh Guru, ZI juga menerima Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera dan Puisi
Johor 2004; Anugerah Penggiat Sastera dan Puisi Johor 2005; dan Anugerah Tokoh
Budaya GAPENA 2008. Apa yang jelasnya, tumpuan sastera kreatif ZI yang lebih
serius adalah pada bidang puisi, walaupun beliau pernah menghasilkan cerpen,
drama dan novel remaja yang semangatnya
bangkit apabila daya keterbacaannya pada teks Enid Blyton. Novel
pertamanya berjudul Mencari Pembunuh
(1978), diikuti dengan Yang Liar dan
Terbiar (1987), dan Yang Resah
Gelisah (1990) adalah hasil pembacaannya yang mendalam terhadap karya
penulis Inggeris terkenal itu.
Kekuatan ZI terserlah dalam dua
bidang sekaligus – pendidikan dan persuratan. Insan yang mendapat pendidikan di
Universiti Malaya, dan Sarjana Pendidikan di Universtit Iowa Utara ini,
mempunyai keazaman yang tinggi dengan memiih dunia perguruan dan pendidikan
sebagai kerjayanya. Bidang persuratan adalah wahana beliau membuka lebar untuk bidang
kesusasteraan yang mendapat tempat dalam sistem pendidikan negara ini. Mungkin
kerana khidmatnya selama tiga tahun sebagai Atace Pendidikan Malaysia di
Indonesia (1990-1993), beliau telah melihat bagaimana perkembangan persuratan
khasnya sastera dan pendidikan, mendapat tempat dalam peta kebudayaan dan
pembangunan negara bangsa Indonesia yang kukuh. Pengalamannya sebagai guru
kanan bagi subjek Bahasa Melayu dan Sastera di Sekolah Tinggi Kluang
(1972-1979), juga pengalaman berkaryanya dan pengaruh karyanya yang memiliki
jiwa kemasyarakatan, merakyat dan patriotisme bangsa yang tinggi, maka para
pelajarnya harus dimesrai, mampu berinteraksi dalam bilik darjah, dan mudah
mereka memahami makna hasil sastera yang disuguhkannya.
Kedudukannya dalam dunia pendidikan
itu diberi penghormatan lagi apabila pada tahun 1995, Z I dilantik sebagai
anggota Panel Penasihat Penulisan Buku Teks Bahasa Melayu Kementerian
Pendidikan. Beliau seterusnya ditugaskan menulis buku-buku teks sastera dan panduan
Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM. Pengalaman dan
keterlibatan beliau dalam dunia persuratan dan kesusasteraan ini pula agak
konsisten. Sejak 1966 dan dekad 1970-an lagi, penerima Anugerah Tokoh Guru
Nasional pada tahun 2004 ini telah mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis
Johor (PPJ) pada tahun 1966, dan pada 1972 ia berjaya dibawa bernaung di bawah
GAPENA untuk bergerak lebih aktif di peringkat nasional dan serantau. Kerana partisipasinya
yang gigih, ZI dipilih memegang jawatan ketua satu PPJ ini selama 14 tahun
(1967-1969; 1973-1984) dan dilantik Penasihat PPJ (mulai 1986 hingga sekarang).
Aktivitinya di peringkat serantau pula terlibat dalam kegiatan sastera budaya
lingkungan SIJORI (Singapura-Johor-Riau), dan AJK Majlis Kerjasama Persuratan
(MAKEP) Rantau Selatan, Singapura, Johor dan Riau (2002).
Kebanyakan pengkaji meletakkan ‘Air
Papan’ sebagai puisi berjiwa rakyat. Puisi ini menerima Hadiah Sastera pada
tahun 1971 dan memerikan peristiwa duka dalam enam rangkap – kehidupan yang
serba daif – sebagai nelayan dan petani. Air Papan sebuah kawasan perkampungan
nelayan yang letaknya empat batu dari Pekan Mersing itu bukan sahaja terdapat
masyarakat nelayan tetapi juga para petani yang berdepan dengan pelbagai
kesukaran. Hidup kaum nelayan tersepit, bukan sahaja terpaksa bertarung maut
yakni tentangan alam, tetapi oleh bahana pukat tunda dan pukat harimau.
Esok lusa anak-anak mengais
pasir
sekolahnya darjah empat cuma
dunianya laut kerbau dan
debu-debu panas
nasi dagang dan pulut inti.
Kanak-kanak
yang miskin ini tidak mampu ke sekolah dan kebanyakan mereka membantu keluarga
cari nafkah. Inilah yang terjadi seterusnya di Air Papan.
Siang usang kosong di pondok
sawah ladang penuh penghuni
Air Papan tak seindah namanya
pegawai dan wakil rakyat
setahun susah sekali bersua,
Ironinya
rakyat ini tidak pernah menerima pembalasan atas sokongan mereka terhadap
pegawai pemerintah dan wakil rakyat yang mereka pilih (mungkin pada zaman
mutakhir ini semua mereka di Air Papan mendapat Brim1M tiap tahun?). namun
penyair sebagai mengambil iktibar dan jalan tengah memerikan pula kisah “gadis
separuh mati dibakar usia”, yang penuh berharap kesetiaan tunangnya untuk
membawanya ke gerbang kebahagiaan. Sebagai gadis yang serba miskin, segala
kemewahan dan gaya hidup (pakaian pelbagai jenis fesyen) itu tidak pernah menggoda jiwa mudanya.
Di sini penyair semacam mengharapkan
bahawa seluruh gadis desa lebih peka dan tidak mudah terpesona dengan tuntutan
fesyen semasa. Inilah harapan baru untuk warga Air Papan yang miskin itu.
Pepohon tinggi nyiur menjulang
sedamai wajah petani dan nelayan
ada gadis separuh mati dibakar
usia
mini atau midi tak pernah menganggu tidurnya
mimpinya satu cuma
esok tunangnya biarlah
mengondolnya ke syurga.
Seterusnya
penyair berharap anak-anak muda Air Papan ini akan muncul di menara gading
berilmu tinggi, bahkan laksana wali yang keramat dan berhati mulia yang bakal
membela rakyat yang serba daif itu.
Dari kampus menara gading
lahir anak-anak baru
yang bernafas atas keringat
nelayan dan petani
dengan tekad satu semangat yang padu
mahu menjilat sendiri
manis pahit hidup bangsanya di
pedalaman
supaya esok lahir para wali
yang mengetahui tangisan
kaumnya.
Roh dan semangat patriotik terjelma
dalam banyak puisinya. Salah satunya berjudul ‘Bersatu ke Alaf Baru’ (15 Julai
1999) dibacakan di majlis Perayaan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Merdeka
pada pagi 31 Ogos 2000. Sajak yang padat nilai-nilai nasionalisme dan patriotik
itu antara lain mengangkat darjat dan martabat bangsa yang merdeka, jelasnya:
Siapalah kita
kalau bukan warga sebuah
negara merdeka
siapalah kita
di arena antarabangsa
bersedia.
Tiada kematian paling nikmat
selain mengasihi tanah
leluhur
dan tanah kelahiran ini
di sini di bumi keramat
ini
cinta kita terus subur
bersemadi.
Semasa
berada di luar negeri, ZI tidak pernah memuji negara atau kota yang
disinggahinya itu. Namun dalam mengabadikan segala pengalaman yang dirasainya
itu, dipertentangkannya dengan kehidupan di Malaysia; justeru jiwa dan rohnya
tetap teringatkan tanah air, famili, dan berbangga dengan alam tanah airnya.
Hakikat ini dapat dikesan pada sajak ‘Basah dalam Ingatan’ (terhasil semasa
berada di Chicago, April 1987)
Menggarap sebuah kehidupan
bebas lepas demikian
menagih penilaian kendiri
tentang arah dan tuju hala
anak-anaknya
pertama kali berpijak
di hujung sebuah benua.
Menyedari di sini
bukan tempat istirehat
sekadar mampir membasah
rongga
meraih hasil setiap inci perjalanan
namun tanah kelahiranku
masih basah dalam ingatan
tetap gagah dalam kebanggaan.
Bersama
penyair Ahmad Razali, ZI ikut serta dalam Pesta Baca Puisi Dunia Antarabangsa, Struga Poetry Evening, di Yugoslavia, ZI
memilih isu sosial seperti masalah keperitan hidup dan kemiskinan mereka banyak
terungkap dalam sajak awalnya. ‘Suara’, ‘Tikus-tikus Lapar’, ‘Kisah Seorang
Pemandu Stim-Rol dengan Seorang Mandur Tua’, ‘Satu Kebangkitan’, ‘Cinta yang
Membunuh’, ‘Yang Ada Pada Kita’, dan ‘Air Papan’ adalah rangkaian kehidupan
insan yang dibelenggu kemiskinan yang terpaksa mereka perjuangkan bagi
melangsungkan hidup.
Semasa menamatkan tugasnya sebagai penjawat
awam (1997) beliau menulis sajak ‘Selamat Tinggal’ (tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Julai 1997), antara lain
menjelaskan tentang seberkas pengalaman hidup yang tidak mungkin terlupakan,
Kuala Lumpur dan Lembah Kelang yang meninggalkan impak negatif:
Kutinggalkan Lembah Kelang
tanpa rasa pilu atau duka
lara
kerakusan, keangkuhan
ego dan taksub di mana-mana
atas nama jualan murah
saban detik dan masa
kebiadaban semakin terasa.
Apakah yang dicari selain
kuasa
kemewahan dan status diri
sedang keberangkatan
sudah pasti
di setiap terminal tanpa
diragui.
Walaupun
bersara, ZI masih menulis, bahkan puisinya makin keras berbicara. Dalam ‘Mencari Jawapan’ (Dewan Sastera, Julai 2000) penyair masih setia dengan menulis
berdasarkan fenomena sosial atau isu semasa masyarakat. Dan kali ini lebih menjurus
kepada kehilangan nilai anak bangsa dan para pegawai penguasa yang tidak
bertimbang rasa. Perbuatan sedemikian rupa dan mungkin kerana atas faktor perbezaan
politik dan ideologi telah melenyapkan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan
selama ini. Kerana itu penyair kelihatan bagaikan seorang pencari budi yang
tidak pernah alpa dan serik melaungkan suaranya:
Kucari keadilan dalam
peta sejarah bangsaku
pohon sopan kering meski pasrah.
Lebat daunnya kian luruh.
Embun akal budi ternyata
langka
dalam kabut belantara kekuasaan.
Apabila sang penguasa
meletakkan tanda harga
pada barangan timbul merata
prasangka
mengundang diam
tika
senja kala meraih tangisan
keadilan terbujur kaku
dalam
keranda bernama
demokrasi.
Dalam ‘Di Hujung Jalan Tol’ (Dewan Sastera, Julai 2000) penyair ZI berbicara tentang dunia
mungkin yang sedang dilalui manusia. Kerana itu:
Di sini sejarah bergantungan
tiada siapa peduli
bertanyakan
asal usulnya.
Manusia
sedang memasuki dunia niskala dan hal ini digambarkan penyair dalam permainan
metafora yang bersahaja – menjelaskan tentang dunia yang suram, dunia paradoks,
tetapi berkesan, dan penyair pun seakan memasuki dunia sureal seperti berikut:
Di hujung sebatang jalan tol
tiba-tiba gerimis turun
dan jerebu turut meresahkan
lampu demi lampu dinyalakan
pemandangan
ternyata semakin kabur.
Jalan itu seakan-akan tiada penghujung
lurus tetapi mengelirukan
dan
setelah melepasi jambatan itu
api,
darah dan seluruh tulisan
pada
batu-batu nisan
berterbangan
lalu hinggap
pada
dinding-dinding kaca
sejarah yang dilupakan.
Di hujung jalan tol yang sama
sebelum tiba di jambatan
gerimis merenjis pesan,
gugur di atas kuburan,
mengembalikan kelopak-kelopak mawar
yang
pada bertaburan
pada
kuntum-kuntum asalnya.
Shamsudin Othman dalam eseinya
‘Memugar Apa yang Terbakar?: Satu Telaah Model Rasa Insaniah’ (lihat buku Biografi Zam Ismail: Penyair dan Pembangun
Sastera Budaya dan Sejarah Johor,
terbitan YWJ Citra, 2011) menjelaskan, bahawa selama 10 tahun tidak menghantar
karya ke mana-mana penerbitan, bukan bermakna merajuk atau mogok berpuisi,
sebaliknya ZI sedang mencari idea untuk membakar sesuatu.
Bagi penyair dan pengkaji yang
membicarakan buku puisi terkini ZI, Mencari
Akar di Ladang Terbakar itu, bolehlah diandaikan sebagai terbakarnya akar
emosi, rasa dan perasaan kemanusiaan dirinya sendiri. Sama seperti pengkaji,
Shamsudin juga nampaknya melihat permasalahan kehilangan atau kehancuran akar
tradisi bangsa yang kian pupus itu sedang menghantui diri penyair. Semuanya ini
terjadi tentulah akibat daripada cintanya yang tidak berbelah bagi terhadap
patriotisme itu sedang meluap-laup dalam jiwanya. Jelas Shamsudin lagi; “Frasa disirami slogan kata-kata, adalah pernyataan selemah-lemah iman kerana sifat
manusia yang beradab akan sentiasa merendah diri dan tahu akan hukum dan
peraturan.”
Pencarian dan pertanyaan adalah teknik
dan gaya kepuitisan yang dimilik ZI dalam sajak ‘Mencari Akar di Ladang
Terbakar’ membayangkan rasa insaf dan tanggungjawab penyair. Namun hal ini
seolah-olah terjawab dalam ‘Mentafsir Cinta’. Dalam sajak ini penyair sedang
melangkah jauh kepada Tuhannya:
Cinta luhur pasrah dan abadi
selagi arus hidup tidak m,enhanyutkan
selagi lautan kasih tidak menengelamkan
selagi ajaran-Nya tidak dilalaikan
dari sini ke lokasi pertemuan
sungai-sungai sentiasa mengalir
di bawahnya.
Lazimnya penyair atau sasterawan tatkala
menulis ia semacam berdepan dengan lawan ajak berbicara, bercakap sesuatu
tentang dunia mungkin yang sedang dilaluinya. Penyair yang komited pada
masyarakat dan bangsanya ini tidak akan pernah melihat untung rugi dia
berkarya. Penyair yang tulen adalah mereka yang menyintai anak bangsanya, bukan
menghasilkan karya picisan yang membawa pulangan wang atau sampai mencipta dosa
sastera. Kita yakin ZI setelah sekian lama berkarya, dunia mungkin yang menjadi
dunia pilihannya yang optimistik adalah kembali kepada kehidupan anak bangsanya
juga.
Dalam hal ini ZI sendiri pernah
menjelaskan, bahawa “penyair sejati adalah mereka yang terus menulis tanpa
mengharapkan imbalan sama ada dalam bentuk bayaran, sanjungan atau
pengiktirafan… Bagi penyair sejati ada sesuatu yang lebih berharga daripada
ganjaran dalam bentuk kebendaan dan keagungan yang mendorong dia terus menulis
puisi. Dorongan itu ialah kepuasan, iaitu kepuasan batin yang tidak dapat
digambarkan lewat puisi-puisinya sendiri. dan kepuasan itu sendiri sebenarnya
adalah sebuah puisi yang penuh misteri, yang hanya dapat dirasakan oleh sang
penyair apabila selesai mengerjakan hasil karyanya.” (lihat Dewan Sastera, Mei 1995, dan “Penyair
dan Globalisasi Kebudayaan” dalam Talib Samat (penyelenggara) Biografi Zam Ismail: Penyair dan Pembangun
Sastera Budaya Sejarah Johor,
Penerbit Mentari, 2014:139-150).
Apa yang diucapkan kini adalah
dialog dan monolog sejak lebih 50 tahun lalu. Mohamad Saleeh Rahamad ketika
menyampaikan kertas kerja “Bayangan Peribadi Zam Ismail Mencari Akar di Ladang
Terbakar” (Johor Bahru, 22 Oktober 2012) menggolongkan sajak ZI ke dalam
lingkungan sajak prismatik, yakni yang tidak terlalu mudah tetapi tidak pula
terlalu sukar. Ada imageri dan pelambangan, permainan bahasa yang membezakannya
daripada prosa polos, ada penyimpangan morfologis, penyimpangan semantik,
penyimpangan leksikografis, penyimpangan leksikal dan penggunaan laras yang
tertentu dalam sajaknya, tetapi lantaran pengucapannya berdekatan dengan nuansa
yang difahami khalayak setempat, sajak ZI adalah komunikatif.”
Sebagai
perakam peristiwa, dia juga melahirkan saranan pemikiran yang bernas, kritik
yang pedas pada penguasa yang tidak amanah. ZI adalah penyair yang telus
berbicara dan melihat kepentingan masyarakat berada di depannya.
(tersiar dalam Dewan Sastera, bil 1, 2015: 9-14)
(tersiar dalam Dewan Sastera, bil 1, 2015: 9-14)

No comments:
Post a Comment